ISLAMIK

Bilakah LAILATUL QADR…?

Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda menghidupkan malam tersebut dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.

Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan yang bermaksud: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain.”

Lailatul Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil di bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh akhir bulan bulan Ramadhan dalam malam ganjil.”

Adapun mereka yang menentukan malam Lailatul Qadar ada banyak pendapat, antaranya:

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadhan. Hujah mereka amat banyak, antaranya:

Mengikut Abu Ka’ab katanya: “Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas’ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan, manakala Lailatul Qadar pula jatuh pada malam ke-27. Akan tetapi, dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya.”

Daripada riwayat Muawiyah yang bermaksud: “Bahawa Nabi SAW telah bersabda bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam ke-27.”

Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir (hia) yang kembalinya kepada Lailatul Qadar.

Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma yang bermaksud: “Sesiapa yang mencari Lailatul Qadar, dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu Lailatul Qadar pada malam yang ke-27.”

Pada malam 23 Ramadhan. Inilah pendapat Imam Syafie. Inilah juga pendapat Malik, Ibn Khuzaimah, Abu Awanah dan al-Tahawi berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Unais bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ لَيْلَةَ ثَلاَثَ وَعِشْرِيْنَ
Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada malam 23 Ramadhan.”

Pada malam 21 Ramadhan. Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Imam Syafie. Dia berdalilkan pada hadis riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi daripada Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اُطْلُبُوْهَا لَيْلَةَ سَبْعَ عَشْرَةَ مِنْ رَمَضَانِ وَلَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِيْنَ وَلَيْلَةَ ثَلاَثِ وَعِشْرِيْنَ
Maksudnya: “Tuntutlah malam 17, 21 dan 23 Ramadhan.”

Pada malam 24 Ramadhan. Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas bahawa Baginda SAW bersabda:
اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي أَرْبَعٍ وَعِشْرِيْنَ
Maksudnya: “Carilah malam Lailatul Qadar pada malam 24 Ramadhan.”
Riwayat Al-Suyuti

Pada malam akhir Ramadhan. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ آخِرِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانِ
Maksudnya: “Carilah malam Qadar pada akhir malam Ramadhan.”
Riwayat al-Suyuti

 

Sumber: FB @drzulmuftiwp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *