ISLAMIK

5 Amalan Utama yang Mendapat Ganjaran Istimewa di Bulan Ramadan

Ramadan ialah bulan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh umat islam saban tahun. Bulan ini bukan hanya tertumpu kepada ibadah puasa semata-mata, malah ia merupakan ‘Bulan Ibadah’ yang dijanjikan pahalanya berlipat kali ganda.

Berikut adalah 5 (lima) amalan utama yang mempunyai ganjaran istimewa jika dilaksanakannya dalam bulan mulia ini berdasarkan hadis Nabi SAW.

1. Solat Terawih
Menurut istilah, Terawih ialah solat sunat yang khusus dilakukan pada setiap malam di bulan Ramadan. Bermula waktunya selepas selesai solat isya’ dan berakhir dengan masuk waktu subuh, tidak termasuk sunat ratibah isya’ dan solat witir.

Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Ramadan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.” [HR. Muslim: 759]

Hukum Solat Terawih adalah Sunat Muakkad iaitu sunat yang amat dituntut.

2. Sedekah
Rasulullah SAW sememangnya baginda dikenali sebagai seorang yang dermawan. Sifatnya itu semakin terserlah apabila tiba di bulan Ramadan. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA yang bermaksud:

“Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al Qur’an. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” [HR. Bukhari: 6]
Kedermawanan Rasulullah SAW diibaratkan seperti angin yang berhembus, bermaksud baginda amat ringan dalam memberi dengan tanpa banyak berfikir.

3. Iktikaf pada 10 Malam Terakhir
Menurut kitab Al-Majmuk Al-Nawawi, I’tikaf bermaksud mendiami dan menetap diri di dalam masjid dari orang-orang tertentu dan dengan cara-cara tertentu.
Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saiyidatina A’isyah RA yang bermaksud:

“Nabi SAW selalu beriktikaf pada 10 terakhir di bulan Ramadan sehingga diwafatkannya oleh Allah kemudian diteruskan iktikaf oleh para isterinya” [HR. Bukhari dan Muslim]

Dalam hadis yang lain, diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawasanya, pada tahun kewafatan Rasulullah SAW, baginda telah beriktikaf selama 20 hari. [HR Bukhari]

4. Umrah
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Jika datang bulan Ramadan, lakukanlah umrah, kerana pahala umrah itu sama dengan pahala mengerjakan haji.” [HR. Bukhari dan Muslim]
Dalam hadis yang lain, diriwayatkan oleh Muslim. Bahawasanya mengerjakan Umrah di bulan Ramadan ialah “Ganjarannya menyamai pahala menunaikan Haji bersamaku”.

Namun, hadis tersebut tidak bermaksud bahawa Umrah ketika Ramadan telah menggantikan kewajipan ibadah Haji, cuma ganjaran pahalanya setara dengan menunaikan Haji bersama Rasulullah SAW.

Ia cukup untuk menggambarkan betapa hebatnya amalan ini jika direzekikan untuk ditunaikan.

5. Memberi Makan kepada Orang Berbuka Puasa
Terdapat banyak dalil yang menyatakan tentang kelebihan menjamu orang berbuka puasa. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Al-Baihaqi, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud;

“Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.”
Walaupun ini bukan amalan khas pada bulan Ramadan, namun kita semua tahu betapa besar ganjaran jika kita menjamu orang berbuka puasa – apatah lagi puasa wajib.

Sumber: ezqurban.org

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *