RUMAHTANGGA

Nik Omar Nik Abdul Aziz Memberi Pandangannya Terhadap Kerajaan PH Dan Ramai Yang Bersetuju Dengannya.

SHAH ALAM – Masyarakat Islam di negara ini perlu memberi peluang kepada kerajaan PH untuk melaksanakan agenda Islam, kata Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Menurut anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat itu, beliau yakin kerajaan PH sememangnya komited memelihara Islam di samping memberi kebebasan kepada agama lain untuk diamalkan.

“Kalau kita tengok ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perjumpaan dengan ulama dan cendekiawan Islam baru-baru ini, beliau berulang kali sebut mahukan kerajaan Malaysia ini bersandarkan al-Quran dan hadis sahih. Beliau bukan sekadar minta pandangan dan idea ulama, tetapi juga sumbangan tenaga untuk pastikan Malaysia berada di landasan tepat.

“Itu sebenarnya pendekatan yang baik agar umat Islam di Malaysia khususnya mendapat kefahaman jelas tentang Islam sebagai sistem kehidupan kita. Dalam masa sama, orang bukan Islam berasa selesa berada dalam pemerintahan negara yang meletakkan Islam sebagai landasan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas mengenai kenyataan ‘menjaga agama lain’ atau hifzuddin oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang mengundang kontroversi, Nik Omar berkata, kenyataan itu perlu dilihat dalam konteks sebenar.

“Beliau berucap selama satu jam tetapi hanya seminit daripada ucapannya mengundang pertikaian. Masyarakat perlu ambil sumber sahih setiap kenyataan dibuat menteri agar kita dapat hadam sebaiknya.

“Kalau kita tidak setuju, kita boleh nyatakan pandangan tapi tak boleh hukum ucapan itu. Kita kena yakin tidaklah seorang menteri agama itu bertujuan melalui ucapannya untuk menolak agama atau memberi tafsiran yang menggambarkan pandangan bertentangan dengan agama,” katanya.

Menurut beliau, kekeliruan yang timbul tidak perlu dipanjangkan sebaliknya boleh diselesaikan secara dialog dan perbincangan.

“Ada yang kata Hifzuddin khusus kepada Islam, tetapi ada juga ulama dan cendekiawan Islam berpandangan kita turut jaga agama-agama lain. Namun, jaga bukan bererti kita beri sokongan untuk agama lain disebarkan.

“Tetapi dalam kerangka Perlembagaan kita beri ruang kepada penganut agama lain untuk laksanakan ibadah cara mereka. Itu yang dimaksudkan menteri agama kita,” katanya.

Leave a Comment