ISLAMIK

Bagaimanakah Cara Untuk Menenangkan Hati Kecewa Akibat Difitnah. ?

Seorang mukmin tak akan putus asa dengan rahmat Allah SWT walaupun dia difitnah. Apakah perubahan sikap dan akhlak umat Islam sekarang ini sudah berubah? Daripada sikap berlemah lembut dan adab sopan , kasih mengasihi sesama saudara muslim sudah bertukar menjadi ganas, penuh dendam kesumat, hasad dengki dan kebencian yang memuncak?

Di mana letak iman mereka sebenarnya? Nabi SAW ada menjelaskan bahawa tidak ada iman bagi mereka yang tidak mengasihi saudaranya sebagaimana mereka mengasihi diri mereka sendiri.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Yang paling dikasihi oleh Allah di antara kamu adalah : mereka yang baik akhlak, yang merendahkan sayapnya (diri), yang suka dengan orang dan yang disukai orang. Manakala yang dimurkai oleh Allah adalah : mereka yang pergi membawa fitnah, yang menceraiberaikan di antara saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah akan kesalahannya” (Hadis riwayat At-Tabharani dan Abu Hurairah r.a.)

Apakah umat Islam yang terlibat itu sudah tidak takut kepada Allah SWT, tidak takut kepada kematian dan seksaan dialam barzakh dan hari akhirat? dan tidak takut kepada seksaan api neraka yang disediakan oleh Allah SWT kepada mereka yang melakukan fitnah, maki hamun, mengadu domba dan hasad dengki?

Adakah mereka menganggap dengan mengeluarkan perkataan maki hamun, sumpah seranah, menyuburkan fitnah kepada orang yang di benciakan di masukkan kedalam syurga? Nauzubillahiminzalik, Hakikat sebenarnya mereka sudah tertipu dengan kerja-kerja iblis laknatullah, mereka sudah dikuasai oleh nafsu amarah sehinggakan tidak ada pertimbangan yang waras dan soal dosa pahala di tolak tepi, yang penting bagi mereka rasa puas apabila kutukan dan sumpah seranah dapat dilepaskan kepada musuh mereka.

Soal hendak menjadi muflis atau tidak dihari akhirat itu soal lain yang penting apa yang nafsu mereka hajatkan dapat dipenuhi. Bersabarlah saudara kita orang yang mengenali diri kita cuba melakukan fitnah kerana sesungguhnya pembawa fitnah dan mengadu domba amat mudah menjadi muflis di akhirat.

Jika mereka tak meminta maaf ketika di dunia pahala sipembawa fitnah akan diberika kepada orang yang difitnahkan sebanyak apa yang dilakukannya. Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?” Sahabat-sahabat baginda menjawab : “Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.” (Hadis Riwayat Muslim dan Tirmizi)

 

Sumber: http://tanyalahustaz58.blogspot.my

Leave a Comment