ISLAMIK

Siapakah Penghuni Syurga Di Tingkat Paling Bawah ?

Syurga ada 100 tingkat, syurga yang paling tinggi adalah Syurga Firdaus dan syurga yang paling bawah (tingkat satu) adalah syurga untuk ahli neraka yang telah habis tempuh seksaannya dan di benarkan masuk syurga.

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan bahwa syurga itu ada 100 tingkat, yang pertama (paling bawah sekali) dari perak, ke-2 dari emas, ke-3 dari mutiara, selebihnya 97 tingkat adalah penuh dengan kelazatan dan kenikmatan yang tidak boleh dibayangkan oleh akal manusia.

Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: Nabi SAW. bersabda: “Sungguh aku mengetahui orang-orang yang terakhir keluar dari neraka dan terakhir masuk syurga. Ialah seorang yang keluar dari neraka sambil merangkak-rangkak, lalu diperintah oleh Allah:

Masuklah ke syurga, maka ia segera pergi ke syurga, tetapi terbayang padanya syurga telah penuh, maka ia kembali dan berkata: Ya Tuhan aku dapatkan sudah penuh. Lalu diperintah lagi: Pergilah masuk syurga. Kemudian ia kembali berkata:

Ya Tuhan, aku dapatkan syurga sudah penuh, kemudian diperintah: Pergilah masuk syurga, maka di sana untukmu seluas dunia sepuluh kali, atau, untukmu seluas dunia dan sepuluh kalinya, maka ia berkata: Engkau mengejek dan mentertawakan aku sedang Engkau Raja Yang Berkuasa.

Sungguh aku telah melihat Rasulullah SAW. tertawa ketika menerangkan hadis ini sehingga terlihat gigi gerahamnya. Dan itu serendah-rendah tingkat ahli syurga. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

# Ada iman sebesar biji sawi akhirnya akan masuk ke syurga.

Abu Said Al-Khudri r.a. berkata: Nabi SAW bersabda: “Akan masuk ahli syurga ke syurga, dan ahli neraka ke neraka, kemudian Allah memerintahkan: Keluarkanlah dari neraka orang yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi dari iman. Lalu dikeluarkan mereka dalam keadaan sudah hitam warna mereka, lalu dimasukkan ke dalam sungai kehidupan (nahrul hayat), maka tumbuhlah mereka itu bagai biji yang tumbuh setelah ada air bah, dan tidaklah tumbuhnya berwarna kuning berbelit (berkait). (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Syurga pertama (paling bawah) di perbuat daripada perak.

Abu Musa r.a. berakata: Rasulullah SAW. bersabda : “Ada dua buah syurga yang terbuat dari perak beserta wadah dan segala isi kandungannya, dan dua buah syurga yang terbuat dari emas beserta wadah dan segala isi kandungannya. Penghalang ahli syurga untuk memandang Rabb mereka hanyalah hijab Keagungan pada Wajah-Nya di Syurga Adn. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Seorang muslim yang ada sedikit imannya kepada Allah SWT (walaupun sebesar biji sawi) tetapi banyak melakukan dosa-dosa besar semasa didunia ini , di akhir kematiannya dia tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT maka dia akan dimasukkan kedalam neraka. Dia akan mendapat azab yang amat dahsyat sekali kerana seksaan neraka yang paling ringan adalah apabila dipakaikan dua sandal (selipar) neraka otaknya mendidih kerana terlalu panasnya api neraka.

Dari hadits Abu Sa’id al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda;

إِنَّ أَدْنَى أَهْلِ النَّارِ عَذَابًا يَنْتَعِلُ بِنَعْلَيْنِ مِنْ نَارٍ يَغْلِى دِمَاغُهُ مِنْ حَرَارَةِ نَعْلَيْهِ

“Sesungguhnya penghuni neraka yang paling ringan seksanya, ia memakai dua sandal dari neraka, seketika itu mendidih oraknya disebabkan panasnya dua sandalnya itu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Kemudian syafaat diizinkan. Mereka pun memintakan syafaat, hingga keluar orang-orang yang mengucap: ‘Laa ilaaha illallah’ dari neraka dan orang-orang yang di hatinya terdapat kebaikan seberat gandum.

Mereka ditempatkan di halaman syurga, sedangkan ahli syurga memerciki mereka dengan air, sampai mereka tumbuh bagaikan tumbuhnya sesuatu (tumbuhan) di dalam banjir.

# Hilanglah hangus tubuh mereka.

Kemudian ia (orang terakhir) meminta Allah memberikannya dunia dan sepuluh kali lipatnya”.

Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan dari Abu Said Al Khudri r.a. bahwasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Allah memasukkan penghuni syurga ke syurga, Dia memasukkan orang yang di kehendakiNya dengan rahmat-Nya dan memasukkan penghuni neraka ke neraka, kemudian Dia berfirman maksudnya : “Lihatlah orang yang kamu sekalian dapati di dalam hatinya iman seberat biji sawi, maka keluarkanlah ia”.

Kemudian mereka dikeluarkan dari neraka seperti arang, mereka telah terbakar maka mereka dilemparkan di sungai hidup (Nahrul hayat), lalu mereka tumbuh di dalamnya, sebagaimana biji-bijian itu tumbuh di tanah yang dibawa banjir, tidaklah kamu melihatnya, bagaimana ia tumbuh dengan kuning emas”. (Hadis Riwayat Muslim).

Di atas rahmat Allah SWT dan syafaat daripada Nabi SAW seorang muslim yang ada sedikit iman dan tidak mensyirikkan Allah SWT masih berpeluang untuk memasuki syurga tetapi terpaksa melalui penyeksaan yang amat dahsyat di neraka dan seharusnya ianya menjadi motivasi kepada kita minta dijauhilah seksaan api neraka.

Dari Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawa Nabi SAW pernah berdoa dengan doa ini, iaitu:

اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ النَّارِ وَعَذَابِ النَّارِ وَمِنْ شَرِّ الْغِنَى وَالْفَقْرِ

“ALLAAHUMMA INNII A’UUDZU BIKA MIN FITNATIN NAAR WA ‘ADZAABIN NAAR, WA MIN SYARRIL GHINAA WAL FAQR”

(maksudnya : “Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari fitnah neraka dan azab neraka, serta dari keburukan kekayaan dan kefakiran).” (Hadis Riwayat Abu Daud no. 1543. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini sahih)

Marilah sama-sama kita muhasabah diri kita. Banyakkan berdoa, bermunajat dan meminta perlindungan Allah SWT daripada seksaan api neraka. Semoga Allah SWT memilih kita dikalangan hamba-hamba-Nya yang akan memasuki syurga tanpa hisab.

Perkara paling penting yang perlu kita jaga adalah iman kita kepada Allah SWT dan rukun-rukun iman yang enam supaya kita tidak syirik kepada-Nya. Kemudian kita beramal dengan ajaran Islam dan berakhlak dengan akhlak seorang mukmin maka kita akan menjadi mukmin yang diredai dan dirahmati Allah SWT.

 

Sumber: FB Abu Basyer

Leave a Comment