ISLAMIK

Pertukaran Arah Kiblat Dari Masjidil Al-Aqsa Ke Masjidil Haram

Pada peringkat awal diwajibkan perintah solat kepada umat Islam selepas Rasulullah ﷺ dan para sahabat sampai ke Madinah. Mereka berkiblatkan Masjidil Al-Aqsa di Baitulmuqadis (Bait Al-Maqdis). Pertukaran kiblat ini telah menjadi satu kontraversi dan isu besar di Madinah pada waktu itu.

Orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah memperlekehkan dakwah Rasulullah ﷺ. Kaum Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu menghadap ke Baitul Muqaddis.

Lalu Allah سبحانه وتعالى turunkan ayat 142 dari Surah al-Baqarah:

سَيَقُولُ ٱلسُّفَهَآءُ مِنَ ٱلنَّاسِ مَا وَلَّىٰهُمْ عَن قِبْلَتِهِمُ ٱلَّتِى كَانُوا۟ عَلَيْهَا ۚ قُل لِّلَّهِ ٱلْمَشْرِقُ وَٱلْمَغْرِبُ ۚ يَهْدِى مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ

“Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: “Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya.”Katakanlah: “Kepunyaan Allah timur dan barat, Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.”

Dari Masjidil Al-Aqsa Ke Masjidil Haram

Dalam Tafsir ath-Thabariy dijelaskan bahawa ketika Rasulullah ﷺ. berhijrah ke Madinah, sementara kebanyakan penduduknya adalah Yahudi, maka Allah سبحانه وتعالى telah memerintah Baginda ﷺ menghadap Baitul Muqaddis (sebagai kiblat).

Orang-orang Yahudi merasa gembira kerana Baitul Muqaddis merupakan kiblat mereka. Selama berkiblat ke Baitul Muqaddis ini orang-orang Yahudi selalu mencaci maki Rasulullah ﷺ. Mereka berkata: “Muhammad menyanggah agama kita tetapi berkiblat kepada kiblat kita!” Dan masih banyak lagi kutukan dan pelekehan mereka yang lain.

Umat Islam telah diduga dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para Sahabat telah mengadu kepada Rasulullah ﷺ dan Baginda ﷺ menyuruh mereka agar terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru dari Allah سبحانه وتعالى.

Sikap orang-orang Yahudi tersebut membuat Nabi Muhammad ﷺ tidak senang, dan setiap hari Baginda ﷺ berdoa menengadahkan wajah mulianya ke langit dalam keadaan rindu agar Allah سبحانه وتعالى menurunkan wahyu dipindahkan kiblat.

Allah سبحانه وتعالى Maha Mengetahui dan Maha Mendengar tentang apa yang berlaku pada ketika itu dan Allah سبحانه وتعالى telah mewahyukan agar Baginda ﷺ mengadap ke Baitullah Kaabah.

Kebenaran daripada Allah سبحانه وتعالى untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah ﷺ yang dikabulkan oleh Allah سبحانه وتعالى. Ini kerana Rasulullah ﷺ sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah.

Permintaan Rasulullah ﷺ tersebut telah diperkenankan oleh Allah سبحانه وتعالى pada bulan Syaaban dengan turunnya ayat 144 dari surah Al-Baqarah yang mengandungi perintah untuk berpindah daripada menghadap Masjidil al-Aqsa di Baitulmuqadis (Bait al-Maqdis) ke arah Masjidil Haram (Baitullah Kaabah) di Makkah al-Mukaramah.

Firman Allah سبحانه وتعالى:

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِى ٱلسَّمَآءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةًۭ تَرْضَىٰهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُۥ ۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَٰبَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

“Sering Kami melihat kamu (wahai Muhammad) berulang kali menadah ke langit, maka Kami benarkan kamu berpaling mengadap kiblat yang kamu sukai, oleh itu halakan mukamu ke arah Masjidil Haram (tempat letaknya Kaabah); Dan di mana saja kamu berada, maka hadaplah mukamu ke arahnya. Sesungghunya orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Al-Kitab (Taurat dan Injil), mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar daripada Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”

Abu Hatim al Busti berkata: “Kaum Muslimin solat menghadap Baitul Muqaddis selama 17 bulan 3 hari. Iaitu bermula sejak hari Isnin 12 Rabi’ul Awal tahun pertama Hijrah sehingga hari Selasa 15 Syaaban tahun ke-2 Hijrah.”

Solat yang pertama kali dilakukan pasca perpindahan kiblat tersebut adalah solat Asar di Masjid Quba’. Rasulullah ﷺ sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai makmum. Masjid tersebut kini dikenali juga sebagai Masjid Qiblatain (masjid dua kiblat).

Sebahagian ulamak sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa Baginda ﷺ mengimamkan solat. Sebahagiannya mengatakan pada solat Asar, ada yang mengatakan Maghrib dan ada pula yang meriwayatkan pada solat Isyak.

Kisah Dari Riwayat Lain

Dalam hikayat lain dikatakan bahawa pada malam 15 Sya’ban (Nishfu Sya’ban) telah berlaku suatu peristiwa penting dalam sejarah perjuangan umat Islam yang tidak boleh kita lupakan sepanjang masa.

Di antaranya adalah perintah memindahkan kiblat solat dari Baitul Muqaddis yang berada di Palestin ke Kaabah yang berada di Masjidil Haram, Makkah pada tahun ke-8 Hijriyah. Sebagaimana kita ketahui, sebelum Nabi Muhammad ﷺ berhijrah ke Madinah yang menjadi kiblat solat adalah Kaabah. Kemudian setelah Baginda ﷺ hijrah ke Kota Madinah, Baginda ﷺ memindahkan kiblat solat dari Kaabah ke Baitul Muqaddis yang digunakan orang Yahudi dengan izin Allah سبحانه وتعالى  untuk kiblat solat mereka.

Perpindahan tersebut dimaksudkan untuk menjinakkan hati orang-orang Yahudi dan untuk menarik mereka kepada syariat al-Quran dan agama yang baru iaitu Agama Tauhid (Islam). Tetapi setelah Rasulullah ﷺ menghadap Baitul Muqaddis selama 16-17 bulan, ternyata harapan Rasulullah ﷺ tidak dipenuhi.

Orang-orang Yahudi di Madinah berpaling dari ajakan baginda, bahkan mereka merintangi Islamisasi yang dilakukan Nabi Muhammad ﷺ. dan mereka telah bersepakat untuk menyakitinya.

Mereka menentang Nabi Muhammad ﷺ dan tetap berada pada kesesatan. Oleh kerana itu Rasulullah ﷺ berulang kali berdoa memohon kepada Allah سبحانه وتعالى agar dibenarkan pindah kiblat solat dari Baitul Muqaddis ke Kaabah lagi selepas Baginda ﷺ mendengar ejekan orang-orang Yahudi yang mengatakan: “Muhammad menyalahi agama kita namun mengikuti kiblat kita. Apakah yang memalingkan Muhammad dan para pengikutnya dari kiblat (Kaabah) yang selama ini mereka gunakan?”

Ejekan mereka itu dijawab oleh Allah سبحانه وتعالى melalui wahyuNya dalam ayat 142 – 143, Surah Al-Baqarah :

سَيَقُولُ السُّفَهَاءُ مِنَ النَّاسِ مَا وَلَّاهُمْ عَن قِبْلَتِهِمُ الَّتِي كَانُوا عَلَيْهَاۚ قُل لِّلَّـهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُۚ يَهْدِي مَن يَشَاءُ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ ﴿١٤٢﴾ وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًاۗ وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنتَ عَلَيْهَا إِلَّا لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِۚ وَإِن كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّـهُۗ وَمَا كَانَ اللَّـهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْۚ إِنَّ اللَّـهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ ﴿١٤٣﴾

“Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Timur dan barat adalah kepunyaan Allah (maka ke mana sahaja kita diarahkan Allah menghadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus.”

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) juga akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.

(Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) Dan tidaklah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk Kami mengetahui tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul (serta membenarkannya) dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya). Dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).” (Surah al-Baqarah, ayat 142 – 143)

Dan pada akhirnya Allah سبحانه وتعالى memperkenankan Rasulullah ﷺ memindahkan kiblat solat dari Baitul Muqaddis ke Kaabah sebagaimana firman Allah سبحانه وتعالى dalam surah al-Baqarah, ayat 144 :

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِى ٱلسَّمَآءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةًۭ تَرْضَىٰهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُۥ ۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَٰبَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

“Sering Kami melihat kamu (wahai Muhammad) berulang kali menadah ke langit, maka Kami benarkan kamu berpaling mengadap kiblat yang kamu sukai, oleh itu halakan mukamu ke arah Masjidil Haram (tempat letaknya Kaabah); Dan di mana saja kamu berada, maka hadaplah mukamu ke arahnya. Sesungghunya orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Al-Kitab (Taurat dan Injil), mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar daripada Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

 

Sumber: shafiqolbu.wordpress.com

 

Leave a Comment